Kebanyakan bisnes dalam bidang pendidikan seperti tadika, sekolah dan tuisyen terjejas akibat dari pandemik Covid-19 apabila tidak dapat beroperasi seperti biasa. Apa pemilik bisnes sebegini boleh buat?
Bukan sekali kita lihat bagaimana bisnes dalam bidang pendidikan terjejas kerana PKP. Rata-rata, bisnes dalam pendidikan sendiri masih bingung dengan keadaan yang kita alami sekarang; tentang bagaimana pengajian para pelajar.
Dari sudut ibu bapa, lain pula masalah yang mereka hadapi. Kebanyakan ibu bapa masih memikirkan bagaimanakah nasib anak-anak yang masih tidak mampu membaca dan mengira walaupun telah mencapai usia 7 tahun. Salahnya dimana? Pada ibu bapa, pada guru atau pada situasi yang kita hadapi sekarang?
Kita lihat di dada-dada akhbar dan media massa berkenaan persekolahan dan sektor pendidikan yang akan mula dibuka pada bulan Oktober. Namun kenyataan terbaru telah dibuat; dengan mengatakan bahawa pembukaan sekolah dibuka mengikut fasa.
Hal ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan ibu-bapa dan para pendidik. Kerana pada awalnya, kita agak kaget dengan kenyataan bahawa sesi persekolah dibuka secara total pada bulan Oktober.
Sudah pasti, bisnes dalam bidang pendidikan juga turut merasa tempias akan situasi ini.
Bila bercakap berkenaan bisnes dalam bidang pendidikan, yang dimaksudkan adalah pemilik tadika, pusat taska dan juga pusat tuisyen. Apa tidaknya, terlalu banyak cabaran yang bakal dihadapi.
Cabaran 1: Pelajar sekolah yang belum menerima vaksin
Antara cabaran utama ialah pelajar yang belum menerima vaksin. Jika mengikut kenyataan media sebelum ini, pelajar dijangka akan mula menerima vaksin pada pertengahan bulan September. Namun masih belum kita dengar perkembangan terbaru bagi mengesahkan perkara ini.
Kita tidak mahu situasi menjadi seperti sebelum ini. Pelajar-pelajar diarahkan untuk ke sekolah seperti biasa. Manakala, ibu bapa juga turut ke tempat kerja. Dan apa yang terjadi ialah apabila ibu bapa terkena jangkitan Covid-19, ianya turut menjangkiti anak-anak dan tidak mempunyai simptom. Setelah itu, anak-anak juga mula menjangkiti rakan-rakan lain.
Kita tidak mahu situasi pisang berbuah dua kali. Seharusnya, satu pendekatan holistik perlu dilakukan pihak berwajib bagi mengekang perkara ini daripada berlaku. Pusat tuisyen juga tidak mahu mengambil risiko dengan mengambil pelajar untuk ke kelas tanpa memastikan bahawa mereka telah divaksin.
Cabaran 2: Kanak-kanak di tadika yang bermain bersama tanpa menjaga jarak.
Jika orang dewasa sendiri mempunyai masalah untuk menjaga jarak sesama sendiri, apatah lagi jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang masih tidak punya kesedaran tentang bahayanya Covid-19.
Sudah pasti amat mencabar untuk memastikan anak-anak dapat menjaga jarak mengikut SOP yang ditetapkan. Tambahan lagi, rata-rata bagi anak-anak tadika umur 4 – 6 tahun.
Ibu bapa juga perlu memainkan peranan di rumah untuk mengajar anak-anak akan pentingnya menjaga SOP semasa di tadika. Selain itu, kanak-kanak juga perlu diberi pendedahan dari ibu-bapa berkenaan bahayanya Covid-19 ini. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa anak-anak telah mempunyai kesedaran berkenaan bahaya jika berlakunya sebarang penularan.
Di samping itu, pengusaha tadika pastinya mempunyai peranan penting bagi mengekang permasalahan ini daripada berlaku. Hal ini disebabkan secara normalnya, sememangnya kanak-kanak perlu bermain di peringkat umur seawal 4 – 6 tahun. Namun dengan keadaan sekarang, pihak tadika perlu lebih kreatif bagi mengekang penularan berlaku dalam kalangan kanak-kanak di tadika.
Cabaran 3: Pelajar tidak mempunyai peranti dan kelengkapan pembelajaran secara online
Hal ini tidak asing lagi. Bahkan ketika awal lagi, kita sudah sedia maklum tentang kebanyakan pelajar yang tidak mempunyai akses internet. Selain itu, ada juga yang masih tidak mempunyai kelengkapan pembelajaran secara online seperti peranti / gajet mahupun komputer.
Sebenarnya, pelajar bukanlah tidak mahu mengikuti PdPR. Namun permasalahan seperti ini perlulah diselesaikan oleh pihak berwajib berkenaan kemudahan yang perlu diberikan untuk mengikuti pembelajaran semasa musim PKP.
Pemilik bisnes pendidikan juga akan mendepani masalah. Hal ini akan membuatkan pelajar yang berminat untuk menyertai tuisyen akhirnya terpaksa menangguhkan keinginan disebabkan tiada akses internet dan gajet yang sesuai.
Cabaran 4: Pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar seperti SPM
Pelajar, ibu bapa dan pendidik pastinya resah apalagi jika mengenangkan peperiksaan besar yang perlu dihadapi ketika musim PKP. Apa tidaknya, pembelajaran secara online ternyata berbeza jika dibandingkan dengan pembelajaran di dalam kelas.
Umum mengetahui bahawa ada pelajar yang tidak dapat fokus jika belajar secara beramai-ramai bagi subjek tertentu. Contohnya bagi subjek matematik.
Kebanyakan pelajar cenderung untuk memilih untuk belajar secara secara one-to-one atau pembelajaran dalam kumpulan kecil bila melibatkan subjek mengira. Terdapat juga pelajar yang terus mengambil tindakan bagi mengikuti kelas tuisyen online matematik secara sendiri. Jadi, amat penting untuk para pelajar menyedari cara belajar yang sesuai dengan diri masing-masing.
Pihak pusat tuisyen juga perlu mengambil pendekatan yang lebih sesuai untuk mengajar para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar. Pastinya, cara yang digunapakai tidak sama seperti pembelajaran secara biasa.
Apa yang boleh dibuat?
Solusi 1: Tambah baik fasiliti untuk mengajar secara online.
Para pendidik dan pengusaha bisnes dalam bidang pendidikan perlulah berusaha untuk menambah baik fasiliti untuk mengajar secara online. Hal ini sememangnya perlu ditekankan supaya kualiti pengajaran dan pembelajaran dapat dipertingkatkan.
Selain itu, para pendidik juga digalakkan untuk lebih kreatif dan mengajar secara interaktif bagi menggalakkan para pelajar tidak bosan semasa belajar secara online. Ternyata hal ini tidak mudah, namun langkah ini perlu diambil bagi menjadikan pembelajaran secara online lebih menyeronokkan.
Solusi 2: Tingkatkan aktiviti marketing bagi bisnes pendidikan anda
Tidak semua orang pernah mencari kelas tuisyen online. Tetapi, anda sentiasa boleh menguar-uarkan kelas tuisyen anda kepada lebih ramai orang. Mungkin, masih ramai yang masih belum tahu bahawa mereka perlu mengikuti kelas tuisyen anda.
Dengan meningkatkan aktiviti pemasaran digital, lebih ramai pelajar dari segenap negeri mengetahui berkenaan kelas online atau bisnes melibatkan pendidikan yang anda usahakan. Maka, lebih ramai pelajar dan pengguna yang dapat dicapai dengan lebih mudah.