Setiap perniagaan perlu melaksanakan strategi integrasi pemasaran digital agar dapat terus berkembang maju dalam penguasaan ekonomi digital dan pengaruh emosi pasaran.
Antara cabaran sepanjang mendepani peralihan pasaran hasil pengembangan digital serta impak krisis pandemik yang berpanjangan adalah memastikan agar kepentingan pelanggan serta hubungan prospek pasaran dapat terus terjamin. Atas faktor tersebut, setiap perniagaan perlu merangka dan melaksanakan strategi pemasaran yang mampan agar dapat terus berkembang maju dalam penguasaan ekonomi digital dan pengaruh emosi pasaran.
Strategi pemasaran sememangnya akan sentiasa berkembang dan berevolusi seiring dengan kemajuan teknologi serta trend gaya hidup masyarakat. Kemajuan teknologi yang kita kecapi hari ini turut menjadi faktor yang memberi impak terhadap peralihan budaya pasaran yang terus berkembang ke arah digitalisasi di seluruh dunia. Begitu juga dengan krisis pandemik yang memaksa perubahan cara hidup masyarakat terhadap teknologi digital secara drastik dengan lebih meluas.
Kesan inilah yang mempengaruhi sektor perniagaan dalam mengadaptasi transformasi digital sebagai usaha untuk terus berdaya maju. Mengenalpasti kelebihan dalam memperkukuh integrasi pemasaran digital berdasarkan kemampuan syarikat dan potensi pasaran menjadi landasan penting agar perniagaan dapat terus berkembang dalam persaingan arus digitalisasi.
Mengenali Potensi Landasan Digital
Secara umum terdapat tiga landasan digital yang terus relevan dalam perkembangan digitalisasi iaitu laman sesawang, media sosial dan Marketplace. Ketiga-tiga platform ini memerlukan kaedah serta pendekatan strategi yang berbeza, namun terkait dalam menjana impak pasaran dengan lebih berkesan.
Laman Sesawang Rasmi – Bagi sesebuah syarikat, laman sesawang memainkan peranan penting sebagai platform rasmi dalam membina kredibiliti di ruangan digital. Ia berfungsi dalam mengetengahkan maklumat syarikat kepada rujukan umum merangkumi profil, portfolio, produk atau perkhidmatan, blog serta info perhubungan dengan penerampilan profesional. Ia juga boleh dilengkapi dengan halaman e-dagang bagi membantu memudahkan urusniaga secara dalam talian.
Selain itu, laman sesawang mempunyai kelebihan dalam meneroka potensi pasaran digital secara organik dan berbayar melalui enjin carian dan media sosial. Ia secara tidak langsung turut berfungsi sebagai premis online yang tersedia 24 jam dan 7 hari seminggu untuk rujukan ramai.
Platform Media Sosial – Pemasaran media sosial juga terus relevan sebagai medan komunikasi pantas dan corong jualan dalam memperkukuh engagement pasaran. Penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube merupakan pilihan popular di Malaysia dalam menyokong pelbagai aspirasi perniagaan kepada prospek pasaran pengguna. Setiap perniagaan juga perlu memastikan integrasi media sosial yang sesuaian dalam membina dan memperkukuh perhubungan terhadap pelanggan serta prospek pasaran.
Online Marketplace – Peningkatan trend pengguna terhadap pembelian secara dalam talian turut menjadikan Marketplace sebagai antara landasan pilihan dalam menjana pelanggan dan memperkukuh prospek pasaran. Marketplace juga merupakan laman e-dagang, namun mempunyai kredibiliti penjenamaan yang dipercayai serta berautoriti tinggi kepada pengguna dalam pasaran digital. Jenama seperti Shopee dan Lazada sememangnya sudah tidak asing lagi dikalangan pengguna di Malaysia. Ia menawarkan peniaga untuk memasarkan produk mereka melalui kemudahan kedai online, transaksi dan penghantaran yang kos efektif.
Atas faktor tersebut, ketiga-tiga landasan ini perlu diberi perhatian oleh setiap perniagaan masa kini berdasarkan kesesuaian prospektus perniagaan dan pasaran. Membina integrasi strategi pemasaran yan terancang dapat membantu meluaskan lagi potensi perniagaan dengan lebih mudah.
Mengurus Pemasaran Kandungan
Pemasaran kandungan atau Content Marketing merupakan elemen penting dalam memanfaaatkan potensi laman sesawang dan juga media sosial dengan pengisian yang mampu menarik engagement audiens. Berbeza dengan elemen periklanan secara konvensional, pemasaran kandungan lebih tertumpu dalam menghasilkan input informasi yang bermanfaaat sebagai pengetahuan, rujukan atau panduan yang secara tidak langsung dapat membina kepercayaan prospek pelanggan dalam mempengaruhi emosi untuk berurusniaga.
Pemasaran kandungan juga membantu memperkukuh kredibiliti penjenamaan. Kaedah membangunkan Pemasaran Kandungan adalah melalui format penulisan, infografik dan video yang dimuatnaik secara berkala melalui artikel blog dan status media sosial. Sebagai contoh, jika syarikat anda memasarkan produk kecantikan, anda boleh mencipta pelbagai kandungan artikel, infografik atau video berbentuk penceritaan berinformatif berkaitan tips penjagaan muka melalui pemakanan sihat dan seumpamanya sebagai panduan kepada orang ramai dalam membina kredibiliti dan tarikan pasaran.
Berdasarkan kajian The Content Marketing Institute, kaedah Pemasaran Kandungan telah terbukti menjana permintaaan pelanggan yang lebih tinggi disamping turut meningkatkan kepercayaan pasaran terhadap kredibiliti produk dan perniagaan. Faktor ini juga turut menarik sebahagian besar organisasi melantik khidmat pengurusan kandungan sebagai salah satu pelaburan mengurus aset digital untuk pengukuhan pasaran dan membina pelanggan setia.
Kandungan Ciptaan Pengguna
Pelanggan merupakan aset penting kepada setiap perniagaan. Oleh itu, ia juga menjadi kepentingan kepada perniagaan dalam menjana sokongan pelanggan membangunkan Kandungan Ciptaan Pengguna atau ‘User-Generated Content’. Kaedah ini mengetengahkan faktor kepuasan pengguna melalui testimoni tulen yang dikongsikan oleh pelanggan itu sendiri sebagai review di pelbagai landasan digital atau media sosial bagi menyokong kredibiliti produk atau perkhidmatan di pasaran.
Setiap perniagaan juga boleh mendapatkan khidmat review dan advertorial melalui kolaborasi Pemasaran Berpengaruh (Influencer Marketing) atau menjalin kerjasama strategik bersama Pemimpin Pendapat Utama (Key Opinion Leader) dalam meningkatkan brand awareness dikalangan pengikut mereka yang tersedia sebagai salah satu inisiatif bagi memperluaskan lagi pendedahan produk dan penjenamaan dalam menerobos potensi pasaran digital.
Justeru itu, peranan pemasaran digital kini sememangnya memainkan peranan yang sangat penting dalam persaingan industri tempatan dan global. Memastikan strategi integrasi pemasaran digital yang terancang serta perlaqksanaan secara teratur juga perlu sentiasa ditambahbaik dari semasa ke semasa agar sentiasa memberikan impak yang disasarkan.
Perniagaan hari ini perlu sentiasa cakna dengan perubahan pasaran dan emosi pengguna serta bijak memanfaatkan kelebihan digital sebagai landasan untuk terus berkembang dan berdaya maju.