Laman web yang gagal memenuhi kriteria ini bakal melihat kedudukan ranking mereka turun dengan mendadak
Baru hari ini saya mampu habiskan penulisan artikel ini, hampir dua bulan juga. Sumber utama penulisan ini saya petik daripada penulisan Zach Williams, seorang pemilik agensi pemasaran digital yang berpusat di Virginia, Amerika Syarikat. Ia diterbitkan oleh Forbes. Konteks penulisan Zach ini sangat menarik pada saya kerana berkaitan dengan SEO. Sebagai seorang pemasar, saya agak sensitif sedikit terutamanya ketika terjumpa sumber-sumber terkini yang melibatkan berita atau pengumuman tentang mana-mana enjin pencarian, platform media sosial dan juga platform kandungan utama dunia. Saya perlu tahu. Bukan apa, nanti mudah untuk saya memperbaharui strategi pemasaran saya sendiri agar lebih terkini. Dan mudah untuk saya ceritakan kepada anda juga.
Menurut Zach, Google kini sedang memperbaharui algoritma enjin pencarian mereka. Apakah yang bakal diubah? Cara mereka membuat paparan kedudukan ranking sesebuah laman web. Ini yang Google sedang lakukan. Khabar angin mengatakan, Google akan mula memperkenalkannya pada penghujung Ogos atau pada awal September 2021. Ini bermakna, setiap pemilik laman web perlu ambil tahu tentang hal ini sekiranya mereka mahukan kedudukan ranking yang lebih baik di Google.
Pada bulan Mei tahun 2020 lalu, Google mengumumkan sedang menyiapkan Core Web Vitals terkini mereka. Itu setahun yang lalu. Ini bermakna mereka semakin hampir menyiapkannya. Untuk pengetahuan kita semua, Core Web Vitals secara ringkasnya adalah satu set metriks yang direkabentuk oleh Google untuk mengukur dan mengira tahap kualiti sesebuah laman web dari aspek kelancaran pengguna menggunakannya. Dan pengalaman pengguna ini akan dikira berpandukan tiga komponen penting iaitu,
- Kelajuan paparan kandungan utama pada mukasurat dalam laman web
- Kadar interaktif
- Kestabilan paparan visual
Kita semua tahu yang Google sentiasa mengemaskini setiap algoritma mereka dari masa ke semasa. Tetapi kali ini perubahan yang dilakukan sangat ketara kerana mereka menganalisa faktor luar selain kualiti kandungan. Kini mereka mahu mengukur dengan lebih mendalam kualiti laman web juga. Tujuan mereka hanyalah satu, mereka mahu ranking yang lebih tinggi diberikan kepada laman web yang berhak — iaitu laman web yang mempunyai bukan sahaja kandungan yang berkualiti tinggi tetapi juga ciri-ciri laman web itu sendiri juga berkualiti tinggi.
Saya rasa ramai pemasar digital, terutamanya pakar-pakar SEO mula mengetahui tentang perkembangan ini sejak beberapa bulan lalu. Hari ini saya ingin berkongsi tentangnya dengan anda pula.
Google adalah sebuah enjin pencarian yang menguasai lebih 90 peratus pencarian maklumat di internet. Matlamat Google mudah. Mereka bukan sahaja mahu menyusun maklumat dunia tetapi juga memberikan kita akses kepada maklumat yang dicari di internet hanya dengan satu klik. Jadi setiap paparan yang Google sediakan itu mesti tepat dengan apa yang dicari oleh pengguna. Lebih tepat maklumat yang betul dipaparkan, kredibiliti Google sebagai enjin pencarian yang berkaliber akan lebih baik lagi di mata pengguna. Dan Google akan terus menjadi pilihan utama pengguna berbanding enjin pencarian lain.
Sebelum ini, proses pengukuran dan penilaian yang digunakan Google untuk ranking lebih menjurus kepada kandungan yang berkualiti, paparan yang mesra dengan peranti mudah alih, keselamatan laman web dan juga beberapa signal asas lain yang berkisar tentang pengalaman pengguna.
Kini, penilaian ini akan ditambah lagi dengan menggunapakai elemen Core Web Vitals dengan menyeluruh di dalam algoritma baharu. Tanpa elemen pengukuran asas dan juga elemen Core Web Vitals baharu, mana-mana laman web yang gagal memenuhi kriteria ini bakal melihat kedudukan ranking mereka akan turun dengan mendadak.
Dengan kata lain, kandungan yang berkualiti sahaja tidak mencukupi. Prestasi laman web melalui pengalaman pengguna dan bagaimana mereka berinteraksi juga akan dinilai dengan jauh lebih terperinci selepas ini. Ini penjelasan terperinci tentang ketiga-tiga Core Web Vitals terkini yang bakal mempengaruhi signal kedudukan ranking di Google.
Kelajuan paparan mukasurat pada laman web
Dikenali sebagai LCP atau Largest Contentful Paint, penilaian ini sebenarnya merujuk kepada kadar purata kelajuan paparan kandungan utama yang terdapat pada setiap mukasurat yang wujud pada laman web. Biasanya setiap mukasurat akan mempunyai kandungan utama seperti penulisan dan visual seperti gambar, grafik dan video. Google akan menggunakan LCP sebagai petunjuk dalam penilaian kepantasan kandungan utama yang dipaparkan. Ia bukan kepantasan mukasurat tetapi kepantasan paparan kandungan utama yang ada di dalam mukasurat itu.
Setiap kandungan utama pada setiap mukasurat perlu dipaparkan tidak lebih dari 2.5 saat. Ini penanda aras baharu Google. Sekiranya kandungan utama dipaparkan perlahan, iaitu melebihi 2.5 saat maka laman web kita akan menerima skor yang rendah dalam pengiraan Google. Walau bagaimanapun, setiap skor yang dikira untuk penulisan, gambar dan video tidak sama bagi jenis kandungan. Namun, 2.5 saat ini merupakan kelajuan purata yang akan diambil kira. Lebih pantas paparan kandungan utama yang ada pada setiap mukasurat, skor yang akan diterima akan lebih baik. Lebih baik skor, lebih baik kedudukan ranking laman web kita di Google.
Kadar interaktif
Google menilai kadar interaktif laman web dengan menggunakan satu metrik yang dikenali sebagai First Input Delay atau FID. Ia merujuk kepada berapa pantas masa yang diambil untuk laman web itu melaksanakan perintah pengguna. Begini, Google ingin tahu berapa pantas laman web itu akan bertindak setelah sesuatu butang atau pautan itu diklik oleh pengguna. Menurut Google, kepantasan laman web perlu tidak melebihi 100 mili-saat. Sekiranya laman web kita hanya bertindak selepas hanya 300 mili-saat, maka ia akan dikira perlahan.
Kestabilan paparan visual
Ketika mana-mana mukasurat pada laman web dipaparkan pada skrin, ia perlu stabil. Metrik ini dikenali sebagai Cumulative Layout Shift atau CLS. Contohnya begini. Ketika kita melayari satu mukasurat pada laman web itu dan kemudiannya menekan satu pautan atau butang yang ada untuk ke mukasurat lain, paparan mukasurat baharu yang keluar kelihatan agak pelik. Visualnya lari dan penulisannya pula tidak selari. Ini menunjukkan yang setiap elemen mukasurat yang dipaparkan itu tidak stabil. Dan apabila ia tidak stabil, skor CLS laman web itu akan tinggi. Lebih tinggi skor CLS, maka laman web itu tidak akan dinilai sebagai stabil oleh Google.
Saya melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif. Google kini sedikit demi sedikit mementingkan pengalaman pengguna dalam menilai sesebuah laman web. Sebelum ini, Google lebih banyak menggunakan kualiti kandungan sebagai petunjuk utama. Tetapi sekarang mereka juga menggunakan ciri-ciri laman web itu sendiri sebagai petunjuk tambahan. Untuk mengetahui laporan terperinci senario Core Web Vitals yang kita ada pada hari ini, lihat sahaja di Google Search Console. Melaluinya, kita akan dapat lihat apakah senarai kelemahan yang boleh diatasi bagi mendapatkan prestasi yang lebih baik lagi.
Jadi lebih cepat kita perbetulkan ciri-ciri teknikal yang ada pada laman web hari ini dengan berpandukan elemen-elemen Core Web Vitals yang telah saya kongsikan tadi, lebih cepat kita akan melihat kedudukan ranking kita akan berubah ke arah lebih baik.